ZHUHAI - China pada Selasa menunjukkan kekuatan udaranya termasuk mempamerkan dron-dron penerbangan dan jet-jet yang mampu mengganggu perkhidmatan elektronik di bandar raya Zhuhai.
Kekuatan udara itu ditunjukkan pada Pameran Antarabangsa Penerbangan dan Aeroangkasa China kali ke-13 ketika ia menyasarkan untuk memodenkan pasukan ketenteraannya.
Tarikh akhir yang ditetapkan Beijing untuk melaksanakan pemodenan itu ialah sehingga tahun 2035.
Pameran itu juga diadakan ketika China berdepan dengan perbalahan mengenai Taiwan yang dituntut oleh Beijing dan isu Laut China Selatan serta permusuhannya dengan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, negara itu masih tertinggal di belakang AS dari aspek teknologi dan pelaburan dalam peralatan perang tetapi pakar-pakar menyatakan Beijing sedang berusaha merapatkan jurang tersebut.
Pada Selasa, pada pameran itu, prototaip sebuah dron pemantauan baharu yang mampu melancarkan serangan iaitu CH-6 dipamerkan kepada orang ramai di Zhuhai.
Memiliki sayap selebar 20.5 meter (m) dan panjang 15.8m, dron tersebut mampu membawa peluru berpandu dan direka untuk pemantauan dan operasi serangan, menurut agensi perisikan Janes.
Dron lain yang dipamerkan ialah WZ-7 yang sesuai untuk menjalankan tugas tinjauan di sempadan dan maritim.
Jet pejuang J-16D turut dipamerkan dan ia mampu untuk mengganggu perkhidmatan elektronik.
Dron dan jet tersebut telah pun digunakan dalam pasukan tentera udara, lapor media kerajaan komunis itu.
Pameran itu sepatutnya diadakan setiap dua tahun sekali tetapi ditangguhkan pada tahun lalu ekoran penularan pandemik Covid-19. - Agensi