PASIR GUDANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terhegeh-hegeh sekiranya UMNO tidak mahu bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan memilih jalan sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, Bersatu sudah memberikan toleransi serta melakukan pengorbanan besar sehingga sanggup memberikan jawatan Menteri Besar di Johor dan Perak termasuk jawatan Perdana Menteri kepada UMNO.
Wakil rakyat Bersatu itu berkata, sekiranya semua toleransi dan semangat setiakawan tersebut tidak dihargai, maka wajar Bersatu dan PN menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen terutama di Johor.
"Pada PRU15, Bersatu akan bersama-sama parti yang mahu bersama-sama kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu, apakah daya. Kita harapkan gabungan Bersatu, Pas, MIC dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu?
"Kalau UMNO memilih untuk tidak bersama-sama PN, kemungkinan besar undi Melayu akan berpecah. Jadi terpulang kepada UMNO. Masalah tidak mahu bergabung dengan Bersatu dan PN ini kita lihat atas pengaruh 'kluster mahkamah' yang semakin terdesak.
"Saya lihat Perdana Menteri tiada masalah untuk bekerjasama tetapi kluster mahkamah ini yang buat hal atas kepentingan diri," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya di sini pada Selasa.
Pada Jumaat, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu masih belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15 jika parti itu memilih untuk bersama-sama.