Sembilan peruncit ditahan jual beras Siam seludup

Iklan
PGA Batalion 7 menahan sembilan peruncit dan merampas 6,345kg beras Siam pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM25,380.

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menahan sembilan peruncit dan merampas 6,345 kilogram (kg) beras Siam pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM25,380 dalam serbuan di 10 kedai runcit di kawasan sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu di sini pada Isnin.

Tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi operasi khas lebih sejam yang bermula pada jam 6.30 pagi sehingga 8 pagi.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sembilan peruncit yang ditahan adalah warga tempatan terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan berusia antara 43 tahun sehingga 69 tahun.

"Peruncit-peruncit ini adalah peniaga yang menjalankan perniagaan runcit di kawasan sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu.

Iklan

"Mereka dipercayai menjalankan aktiviti penjualan beras Siam yang diseludup daripada negara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Ujar beliau, hasil risikan maklumat dan pemerhatian, kesemua bekalan beras itu dihantar oleh seseorang yang diupah (runner) untuk mengangkut beras seludup itu dari sempadan Malaysia-Thailand kepada peniaga-peniaga tersebut.

Iklan

"Runner ini meraih upah bermula antara RM20 hingga RM30 bagi setiap trip penghantaran bekalan beras ke destinasi.

"Kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan beras ini terdiri daripada kereta dan motosikal serta bekalan beras dihantar dalam skala kecil ke lokasi yang dituju setelah diseludup di sempadan,” katanya.

Beras Siam pelbagai jenis yang dirampas oleh PGA Batalion 7 dalam sebuan pada Isnin.

Beliau berkata, taktik itu bertujuan mengaburi mata pihak penguat kuasa yang membuat rondaan.

"Kesemua bekalan beras ini diperoleh dari pangkalan-pangkalan haram di sekitar kawasan Pengkalan Kubor.

"Operasi khas ini dilancarkan selepas membuat risikan dan pemerhatian dalam tempoh masa lebih kurang seminggu berkaitan aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Menurutnya, sejumlah empat pegawai kanan dan 25 anggota terlibat dalam pelaksanaan operasi khas di kawasan sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat.

"Barangan kes akan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

"PGA tidak akan berkompromi dalam sebarang kes penyeludupan dan menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak terlibat kerana kegiatan penyeludupan mendatangkan kerugian kepada kerajaan berkait pembayaran cukai,” katanya.