Geng Tanker tumpas

Iklan
Noorzainy (dua,kiri) menunjukkan barang yang dirampas dan gambar suspek yang sedang diburu polis.

KEPALA BATAS - Polis berjaya menumpaskan satu geng pecah rumah yang dikenali sebagai Geng Tanker dalam satu serbuan di Mak Mandin, Butterworth di sini pada 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat susulan kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Mekar, Butterworth selain kes curi kenderaan dan beberapa kejadian samun yang melibatkan warga emas yang dilaporkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan, sepasukan polis telah menyerbu sebuah tanker yang dipercayai dijadikan markas untuk menyimpan barangan curi dan menahan dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun.

"Siasatan yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dikenali sebagai Sharvin terlibat dengan kejadian pecah rumah di Taman Mekar, Butterworth dengan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM10,000.

Iklan

"Dalam serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun seperti barangan kemas, komputer riba, kamera, batu jed, peralatan elektrik, pelbagai beg dan sebuah kereta yang dicuri," katanya pada sidang media yang diadakan di sini.

Noorzainy berkata, turut ditemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti pemotong besi, pemutar skru yang diubah suai.

Iklan

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Malah semakan yang dibuat mendapati mereka masing-masing mempunyai 12 dan 14 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Hasil siasatan kita mendapati modus operandi mereka akan memantau rumah mewah sebelum memecah masuk dan mencuri barangan berharga dan kegiatan itu di lakukan ketika waktu malam atau ketika mangsa tiada di rumah.

"Bagi jenayah samun, geng tersebut akan mensasarkan golongan warga emas sebagai mangsa dan akan menyamun barangan kemas yang dipakai mereka," katanya.

Noorzainy berkata, dua suspek yang ditahan itu kini direman tujuh hari dan polis kini sedang giat mengesan rakan mereka yang turut terlibat dalam kes pecah rumah sebelum ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, dua lelaki ditahan dalam serbuan yang dilakukan di Butterworth dan Tasek Gelugor kelmarin kerana terlibat kegiatan curi motosikal dan samun di sekitar daerah SPU.

Katanya, dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu dipercayai terlibat 10 kes curi motosikal dan samun di SPU bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dan sasaran geng itu ialah motosikal jenis Yamaha kerana mendapat permintaan yang tinggi.

"Susulan penahanan mereka, polis merampas sebuah motosikal Yamaha Y15 dan pelbagai komponen motosikal.

"Mereka yang tidak bekerja itu dipercayai menjual motosikal curi kepada geng mat rempit dengan harga lebih murah berbanding pasaran," katanya.