ALOR SETAR - Kerajaan Kedah membenarkan jemaah yang sudah lengkap vaksinasi untuk menunaikan solat fardu di masjid berkuatkuasa pada Rabu dengan syarat kehadiran separuh ruang solat masjid.
Pengarah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, bagi masjid gahiru jamek serta surau pula, jumlah jemaah mestilah tidak melebihi 100 jemaah termasuk pegawai dan jawatankuasa tertakluk ruang solat.
Menurutnya, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kadar vaksinasi penduduk di Kedah melebihi 60 peratus, kes Covid-19 yang sudah menurun paras 1,000 serta kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital yang menurun kepada 60 peratus.
"Bagi solat Jumaat, kita turut membenarkan kehadiran jemaah separuh ruang solat masjid iaitu tidak kurang daripada 50 jemaah termasuk pegawai dan jawatan kuasa masjid," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Yusri berkata, pengurusan masjid turut dibenarkan menyediakan ruang solat terbuka khusus kepada musafir.
"Wirid, doa dan solat sunat ba’diyah dibenarkan dengan masa yang singkat dan hendaklah segera beredar selepas menyempurnakannya. Walau bagaimanapun, amalan iktikaf selepas solat di masjid dan berkumpul selepas solat tidak dibenarkan," katanya.
Beliau berkata, program keagamaan seperti kuliah selepas Maghrib hingga Isyak, kuliah Subuh, bacaan Yasin malam Jumaat dan tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan tidak melebihi satu jam.
"Penyampai kuliah hendaklah sudah lengkap divaksin dengan kapasiti jemaah mengikut ketetapan had solat fardu dan Jumaat.
"Penyampai kuliah dari luar lokaliti yang perlu rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan, semua aktiviti solat dan kuliah mestilah dengan jarak fizikal satu meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, menunaikan solat di luar lokaliti atau kariah serta aktiviti kemasyarakatan seperti program khas, jamuan, kenduri, gotong-royong, aktiviti menyediakan makanan iaitu memasak di kawasan masjid juga adalah dilarang.
"Bagi solat jenazah bukan Covid-19, dibenarkan seperti ketetapan had solat fardu dan Jumaat, manakala pengurusan pengebumian, talkin dan doa dibenarkan tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja.
"Amalan ziarah kubur dibenarkan dengan SOP yang ketat tidak melebihi lima orang bagi satu kubur tertakluk kepada ketetapan yang dibuat oleh pihak pengurusan kubur dan jawatan kuasa masjid.
"Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta," katanya.
Katanya, jemaah atau ahli kariah yang hadir solat berjemaah di masjid dan surau wajib jujur dengan kondisi diri masing-masing.
"Pastikan mereka tidak bergejala, bukan kontak rapat kes positif Covid-19 dan bukan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau lokasi berisiko tinggi penularan wabak berkenaan," katanya.