Kanser kekal punca kematian utama di Korea Selatan

Iklan
Kanser kekal penyebab utama kematian di Korea Selatan.

SEOUL - Kanser kekal penyebab utama kematian di Korea Selatan, dengan angka korban mencecah tahap tertinggi tahun lalu, menurut laporan dikeluarkan kerajaan pada Selasa.

Pada 2020, sebanyak 304,948 kematian dilaporkan meningkat 3.3 peratus dari tahun sebelumnya. Ia menandakan jumlah tahunan tertinggi sejak Statistik Korea mula mengumpulkan data pada 1983, lapor Agensi Berita Yonhap.

Iklan
Iklan

Agensi perangkaan itu memaklumkan tahun lalu, sejumlah 593.9 kematian dilaporkan bagi setiap 100,000 warga Korea Selatan.

Turut dilaporkan 160.1 per 100,000 orang meninggal dunia akibat kanser tahun lalu. Barah menjadi penyebab kematian nombor satu di negara ini sejak pengumpulan data dibuat.

Iklan

Penyakit jantung pula punca kematian kedua terbesar dengan 63 kematian per 100,000 orang, diikuti radang paru-paru dengan 43.3 kematian.

Tahun lalu, 950 orang maut akibat Covid-19, menyumbang 0.3 peratus kematian.

Iklan

Sepuluh penyebab utama kematian lain termasuk penyakit serebrovaskular, bunuh diri, diabetes dan penyakit Alzheimer.

Penyakit Alzheimer berada di 10 tangga teratas pada 2018 untuk pertama kalinya sejak 1983. Antara 10 punca utama kematian itu, penyakit jantung, radang paru-paru dan Alzheimer menunjukkan peningkatan, menurut agensi statistik itu.

Laporan itu mendapati, bunuh diri tetap menjadi faktor utama kematian bagi penduduk berusia antara 10 hingga 39 tahun pada 2020.

Bunuh diri adalah penyebab kematian kedua terbesar bagi mereka berusia 40-an dan 50-an.

Sebanyak 13,195 orang membunuh diri pada 2020, turun 4.4 peratus dari 2019. Purata kematian akibat bunuh diri setiap hari ialah 36.1.

Kadar bunuh diri bagi setiap 100,000 orang mencecah 23.5 pada 2020, jauh lebih tinggi berbanding purata 10.9 antara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), pertubuhan dianggotai 36 negara yang kebanyakannya kaya dan maju. -Bernama