KUALA LUMPUR - Kedudukan Malaysia dalam laporan Indeks Sekuriti Makanan Dunia (GFSI) jatuh ke tangga 44 daripada 113 negara di dunia pada tahun 2019 kerana pelarasan semula yang dibuat terhadap skor laporan berkenaan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menjelaskan, disebabkan itu, kedudukan Malaysia pada tahun berkenaan menurun dari tangga ke-28 ke tangga 44.
Beliau berkata, pelarasan semula dibuat Unit Perisikan Ekonomi (EIU) terhadap purata skor GFSI dari tahun 2012 hingga 2019.
Menurutnya, laporan GFSI yang dikeluarkan EIU sejak tahun 2012 bertujuan untuk menilai tahap kerentanan sesebuah negara terhadap sekuriti makanan.
"Kedudukan sesebuah negara dalam GFSI ditentukan oleh purata skor keseluruhan daripada tiga dimensi sekuriti makanan iaitu kemampuan, ketersediaan serta kualiti dan keselamatan. Skor ini menentukan prestasi keseluruhan sekuriti makanan serta kedudukan sesebuah negara secara global.
"Bagaimanapun, pihak EIU telah membuat pelarasan semula terhadap purata skor dari tahun 2012 hingga 2019 setelah menjadikan dimensi sumber asli dan ketahanan sebagai salah satu dimensi teras bermula tahun 2020," katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta Kiandee menyatakan punca kedudukan Malaysia dalam GFSI jatuh dari tangga 28 pada tahun 2019 ke tangga 43 (tahun 2020).
Sementara itu, Kiandee berkata, pelarasan itu bukan sahaja mengubah kedudukan Malaysia pada tahun 2019, malah Singapura juga telah berubah dari tangga pertama ke tangga 20, dan Australia dari tangga ke-12 ke tangga 26.
Menurutnya, walaupun dimensi sumber asli dan ketahanan telah diperkenalkan sejak tahun 2017 sebagai faktor pelaras, namun hanya pada tahun 2020 ia telah dijadikan sebagai dimensi teras berdasarkan kepentingannya untuk mengukur daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim dan kerentanan negara terhadap risiko sumber semula jadi.
"Kedudukan Malaysia dalam GFSI pada tahun 2020 adalah di tangga ke-43 iaitu telah meningkat satu anak tangga berbanding dengan tahun 2019.
"Kedudukan Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik, manakala kedua terbaik dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara iaitu selepas Singapura," jelasnya.
Beliau menjelaskan, kedudukan Malaysia pada tahun 2020 juga adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Filipina dan India.
Namun demikian, katanya, tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuhkan sekuriti makanan negara.
Katanya, ia seperti kebergantungan import makanan, peningkatan permintaan, perubahan iklim, kekangan sumber asli, kekurangan tenaga kerja mahir dan penglibatan golongan belia, tahap penerimagunaan teknologi yang masih rendah dan amalan pertanian yang kurang lestari.
"Dalam hal ini, kerajaan sentiasa terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan, sekali gus mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam GFSI pada masa akan datang.
"Antara usaha kerajaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) dan pembangunan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang holistik dan mampan.
"Elemen jaminan sekuriti makanan negara juga merupakan prioriti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara dan telah dijajarkan dalam dokumen dasar utama MAFI iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)," ujar beliau.