IPOH - Kerajaan negeri Perak telah menyerahkan senarai lima destinasi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk dijadikan gelembung pelancongan negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, lima lokasi berkenaan adalah Pulau Pangkor, Greater Ipoh, Geopark Lembah Kinta, Taiping dan Tanjung Malim.
"Sebenarnya kita sudah senaraikan destinasi gelembung pelancongan yang ingin kita buka kepada orang luar termasuk bandar raya Ipoh dan Taiping, cuma yang menjadi masalah adalah pintu masuk untuk jadikannya gelembung pelancongan.
"Jadi sebab itu, keutamaan diberikan kepada Pulau Pangkor sebagai destinasi utama gelembung pelancongan kerana ia mempunyai laluan yang boleh dikawal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyerahan sumbangan enam peranti mudah alih kepada Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kepayang di sini pada Selasa.
Menurut Nolee Ashilin, pihaknya juga berharap agar negeri mendapat pengiktirafan sebagai gelembung pelancongan sebelum November ini.
"Saya rasa awal November ini adalah sasaran yang baik. Kita berharap agar gelembung pelancongan di Perak dapat dilaksanakan lebih awal sekali gus mendapat kelebihan kehadiran pelancong yang memilih Pulau Pangkor berbanding negeri lain.
"Ia menjadi hasrat kita untuk dilaksanakan sebelum 1 November ini dan pada masa sama, sudah pasti kita tidak akan mengorbankan faktor keselamatan pengunjung," katanya.