SIBU - Menyifatkan ada yang 'sangat tidak kena dengan Sarawak' apabila rakyatnya keluar mencari pekerjaan di negara mundur, DAP Sarawak hari ini menggesa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan di negeri itu.
Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan berkata disebabkan kegagalan GPS mewujudkan peluang pekerjaan, puluhan ribu warga negeri itu mencari pekerjaan di luar, sekali gus mendedahkan mereka kepada sindiket penipuan pekerjaan.
"Kerajaan negeri perlu menangani masalah pekerjaan ini khususnya di bahagian tengah Sarawak yang menyaksikan ramai penduduk dari situ keluar mencari pekerjaan di Singapura, Arab Saudi dan lain-lain,” katanya.
Bercakap kepada pemberita semasa menunggu ketibaan lapan warga Sarawak yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Liberia, di Lapangan Terbang Sibu di sini malam tadi, Wong berpandangan apabila rakyat negeri itu mencari pekerjaan di negara kurang maju seperti Ghana, Liberia dan Kemboja, maka"ada yang sangat tidak kena dengan Sarawak”.
Lapan lelaki tersebut yang berusia 39 hingga 66 tahun iaitu Enyang anak Ato, Gawan anak Masin, Aji anak Surau, Untol anak Luyang (kesemuanya dari Kapit); Sallim Tahir dan Suhaili Gani (Betong); serta Bon anak Egat dan Dingai anak Nyalak (Balingian), dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Liberia.
Sebelum ini dilaporkan 47 rakyat Malaysia dengan 44 dari Sarawak ditahan di pusat tahanan di Kemboja, dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Sementara itu, Pengerusi PKR Kapit George Chen yang turut hadir, berkata kedua-dua kes Kemboja dan Liberia itu adalah bukti warga Sarawak sangat memerlukan pekerjaan.
Beliau mendakwa setakat ini terdapat lebih 40,000 anak Sarawak bekerja di Bukit Mertajam (Pulau Pinang, 50,000 di Pelabuhan Klang (Selangor) serta 60,000 tinggal di Johor dan bekerja di Singapura.
Dalam kes Kemboja, mangsa dilaporkan ditawar pekerjaan di hotel lima bintang dengan gaji US$1,500 (RM6,100) sebulan selain disediakan asrama serta pengangkutan manakala dalam kes Liberia pula mangsa dijanjikan pekerjaan di kem pembalakan dengan gaji RM8,000 sebulan. - Bernama