SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan ketibaan seramai 24.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan berjumlah RM73 bilion pada tahun 2025.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran pendapatan bagi pelancongan domestik pula adalah sebanyak RM100 bilion untuk tempoh sama.
Menurutnya, seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025, sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik Covid-19 dijangka mula pulih dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus.
"Justeru, MOTAC melalui semua agensinya akan memastikan usaha yang lebih agresif dapat dijalankan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan.
"Kita mesti mengambil pendekatan yang baru, di mana seni dan budaya mesti diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan dalam usaha untuk mempromosi Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementerian yang diterajuinya menyasarkan untuk kembali meletakkan semula Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Tambahnya, MOTAC juga akan bertindak dengan lebih kreatif dan meneruskan kerjasama erat dengan semua kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri boleh mencadangkan produk pelancongan baharu untuk diketengahkan. MOTAC akan menyambut cadangan tersebut dengan menambahbaik produk itu seterusnya mempromosikannya sehingga ke persada antarabangsa.
"Kerjasama sebegini boleh bersama-sama membawa kepada potensi ekonomi untuk dioptimumkan," katanya.
Pada 20 September lalu, Nancy memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa kementeriannya menganggarkan jumlah kerugian daripada pendapatan pelancongan negara berjumlah RM135 bilion pada tahun lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat pada tahun ini berikutan pelaksanaan PKP masih diteruskan ketika ini.