KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kerajaan menaikkan had maksimum pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) daripada RM200,000 kepada RM400,000.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia bagi menggalakkan rakyat menyimpan dan menjana pendapatan pasif.
"Maka dengan ini jika seseorang pelabur membuat pelaburan maksimum pada kadar enam peratus setahun, ini membolehkan pencarum memperoleh pendapatan pasif sehingga RM2,000 sebulan.
"Bagi mencapai matlamat ini, skim pinjaman pembiayaan ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) sedia ada dari bank-bank perlu ditambah baik," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Najib berkata, penambahbaikan itu adalah dengan mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan sebenar bank ketika ini yang paling rendah dalam sejarah dengan memastikan lebih ramai rakyat mampu membuat pelaburan sehingga ke tahap maksimum.
"Seperti kita sedia maklum, berjuta-juta rakyat terpaksa mengeluarkan caruman dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka pada tempoh pandemik ini melalui skim-skim seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang telah saya perjuangkan bersungguh-sungguh.
"Seandainya kerajaan memenuhi tuntutan rakyat untuk menaikkan pengeluaran maksimum i-Citra dari RM5,000 kepada RM10,000, maka tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari jalan memulih dan memastikan agar pencarum dengan baki simpanan yang rendah, dapat menambah simpanan mereka dengan cepat," katanya.
Beliau berkata, langkah itu supaya apabila rakyat bersara nanti, simpanan di dalam akaun satu mencukupi.
Pada masa sama, Najib turut mencadangkan agar bank memperkenalkan produk-produk mesra pembelian saham untuk membiayai sehingga 70 peratus pembelian dengan hanya kadar caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus setahun.
Katanya, cadangan itu bagi membantu rakyat yang berhasrat melabur dalam senarai saham di Bursa Malaysia yang dibenarkan dan disyorkan oleh bank dan penganalisis pasaran.
"Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi.
"Rakyat mampu mencipta kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos pinjaman bank," katanya.