Penantian 106 pembeli rumah di Taman Seri Buchu berakhir

Iklan
Mat Sabri (kiri) bersama pemilik rumah yang memperoleh replika kunci sempena Program Penyerahan Kunci Taman Seri Buchu, Kuala Nerus pada Selasa

KUALA NERUS - Penantian 106 pembeli rumah teres di Taman Seri Buchu, Batu Rakit, di sini yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu berakhir selepas projek tersebut siap penuhnya menerusi pemaju projek perumahan penyelamat yang dilantik kerajaan negeri.

Pengerusi Bertindak Rumah Terbengkalai Taman Seri Buchu, Mat Sabri Ismail berkata, taman yang dahulunya dikenali Taman Jaza Seri Iman ini memiliki 106 unit rumah yang dibeli dalam kalangan anggota tentera.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sepanjang tempoh penantian rumah ini siap di bina, sebanyak empat kematian telah direkodkan dalam kalangan pemiliknya dan rumah berkenaan akan diserahkan kepada pewaris-pewaris yang berhak.

"Berkat kesabaran dan hasil pemuafakatan semua pembeli rumah di sini, akhirnya impian kami untuk mendiami rumah sendiri tercapai walaupun terpaksa menempuh sedikit cabaran terutama berdepan proses perundangan yang dilalui.

Iklan

"Saya akui keputusan yang paling sukar dibuat ialah membuat bayaran tambahan bagi setiap pemilik rumah sebanyak RM18, 605 bagi menanggung kos-kos berkaitan sebelum kunci rumah diserahkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Buchu pada Selasa.

Azima Mohd (kiri) dan anaknya, Nur Athirah Najwa, 21 ( kanan) menunjukkan replika kunci diterima di hadapan rumah mereka

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak.

Iklan

Dalam pada itu, Mat Sabri berkata, sehingga kini hanya 68 pemilik yang menerima kunci rumah masing-masing setelah menjelaskan bayaran kos tambahan manakala pembeli selebihnya

akan cuba menjelaskan bayaran terbabit dalam tempoh terdekat kerana masing-masing tidak sabar untuk mendiami rumah mereka yang ditunggu-tunggu selama ini.

Salah seorang penerima, Azima Mohd, 45 berkata, walaupun hajat arwah suaminya, Mohd Asri Mat yang baharu sahaja meninggal dunia Julai lalu kerana masalah jantung tidak tercapai namun dia mengakui lega sekurang-kurangnya dapat mendiami rumah yang diimpikan bersama arwah.

"Sekurang-kurangnya rumah ini boleh dijadikan kenangan kami bersama, saya dan dua anak kami akan tinggal di sini menjaga amanah yang ditinggalkan arwah.

"Dulu, arwah memang teruja selepas membuat keputusan untuk membeli rumah ini dan semasa tempoh projek terbengkalai, dia sentiasa mengajak saya untuk melihat rumah selain memujuk hatinya mengatakan rumah ini akan siap suatu hari nanti," katanya sebak.