SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) menyambut baik cadangan melanjutkan tempoh pembinaan bagi memastikan projek perumahan tidak terus tergendala dan lewat untuk disiapkan.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat ketika mesyuarat jawatankuasa induk Rumah Selangorku dengan pihak perumahan dan PBT pada Selasa.
Menurutnya, PBT diminta untuk pertimbangkan mana-mana pemaju yang memohon untuk beroperasi pada luar waktu yang sepatutnya mengikut kes.
"Kita tidak buat polisi standard, tetapi kita minta pertimbangan mana-mana pemaju yang memohon untuk beroperasi pada luar waktu yang sepatutnya untuk dipertimbangkan mengikut kes.
"Pihak PBT telah ambil maklum perkara ini jadi kita minta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Selangor untuk sampaikan kepada syarikat pemaju, namun saya akan keluarkan surat rasmi pada masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyerahan Cek Replika oleh Rehda Selangor dan Setiatiwi Sdn Bhd kepada Bingkisan Mesra Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Pengerusi Rehda Selangor, Datuk Ho Hon Sang menyambut baik usaha Exco Selangor yang sentiasa berbincang dengan pihaknya untuk mendapatkan penyelesaian kepada isu tersebut.
Hon Sang yang mewakili lebih 300 ahli turut meminta PBT yang terlibat dalam pembinaan Rumah Selangorku diberi kelonggaran untuk beroperasi luar waktu sepatutnya.
"Ahli kami minta PBT yang terlibat dalam pembinaan Rumah Selangorku diberi kelonggaran untuk beroperasi luar waktu sepatutnya.
"Kami berjaya mendapatkan jalan tengah untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia perlu mengimbangi keperluan rakyat dan pihak pemaju," katanya.
Pada awal September lalu, pihak Rehda Selangor dinasihatkan berbincang dengan PBT di Selangor untuk melanjutkan tempoh pembinaan bagi memastikan projek perumahan tidak terus tergendala dan lewat untuk disiapkan.
Rodziah berkata, setiap PBT di Selangor mempunyai ketetapan berbeza berhubung waktu kebenaran beroperasi sektor pembinaan.