SELEPAS mengharungi empat perlawanan Piala AFF 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (Fam) menerima dua surat pertuduhan berikutan kesalahan daripada penganjur Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).
Pertama adalah disebabkan bom udara yang dilemparkan penonton ke trek Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus pengadil perlawanan meniup wisel yang mengesahkan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Myanmar, Sabtu lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung Fam, Stuart Ramalingam berkata berikutan kesalahan itu, badan induk berkenaan dijangka didenda AS$5,000 (RM21,000) bagi insiden yang disifatkannya sebagai 'pembaziran wang'.
"Ia sesuatu yang sudah berlaku dan kami perlu berhadapan dengannya. Ada dua insiden yang mana kami diberikan notis pertuduhan dan bagi yang pertama (bom udara), kami sudah membalasnya,” katanya.
Stuart menjelaskan pertuduhan kedua lebih serius apabila timbul dakwaan daripada peminat Myanmar yang mereka diserang sekumpulan orang berada di perhentian bas selepas perlawanan berkenaan.
"Mengenai perkara ini, kami sudah berhubung dengan AFF semalam dan menerangkan keseluruhan pelan keselamatan bagi perlawanan itu. Rancangan yang digunakan dengan pemisahan penyokong dalam perlawanan yang disaksikan 83,000 orang adalah berjaya.
"Kami juga ingin menegaskan tiada laporan polis atau bukti yang mengatakan peminat Malaysia memukul penyokong Myanmar kerana insiden itu berlaku di luar, di lebuh raya, berhampiran jalan utama di luar zon keselamatan yang ada pegawai polis bertugas.
"Kami mengikuti perkembangan peminat yang cedera itu dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab terhadap laporan berkenaan untuk memastikan ia sudah dilihat dari sudut persatuan,” katanya.
Stuart, yang sebelum ini bertugas di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menambah mereka sudah meminta kelonggaran kerana tidak ada bukti konkrit dan akan mengetahui keputusan mengenai kedua-dua kes berkenaan menjelang akhir minggu depan.
Fox Sports Asia, semalam melaporkan Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF) sudah menghantar notis kepada AFF untuk menggesa badan itu untuk mengambil tindakan selepas mendakwa 20 peminat pasukan itu, termasuk enam wanita diserang oleh 30 orang di sini.
Kejadian sama berlaku pada Sukan SEA tahun lalu di luar Stadium Shah Alam yang menyaksikan penyokong Myanmar turut diserang.
Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) juga didenda AS$10,000 (RM42,000) selepas tiada pemain mereka hadir pada sidang akhbar sebelum perlawanan menentang Laos, 8 November lalu.
Persatuan Bolasepak Indonesia juga didenda AS$8,000 (RM33,000) kerana melanggar peraturan iklan manakala pemain Kemboja, Bin Chanthachery didenda denda AS$ 1,000 (RM4,200) susulan kad merah dalam perlawanan menentang Myanmar.
FAM dapat dua pertuduhan dari AFF
Iklan