KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas hari ini dengan rasminya mengadakan pertemuan bersama bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.
Mesyuarat perundingan antara dua parti itu diadakan di ibu pejabat UMNO iaitu di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Kira-kira jam 3 petang kelihatan pimpinan tertinggi kedua-dua parti Melayu Islam itu memasuki Menara Datuk Onn.
Pemimpin Pas yang hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zohdi Marzuki dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Manakala bagi pihak tuan rumah UMNO, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Zambry Kadir, Datuk Seri Khaled Nordin dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan juga turut berada dalam pertemuan itu.
Sementara itu, Asyraf Wajdi sempat mencoret di Facebooknya, berkenaan pengisian pertemuan tersebut.
Antaranya berbunyi:"Petang ini menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO dan Pas kali pertama di ibu pejabat UMNO, PWTC. Ini merupakan pertemuan yang amat bersejarah untuk meneroka garis-garis besar haluan penyatuan ummah yang bukan sahaja dituntut Islam bahkan didambakan oleh seluruh rakyat terutamanya orang Melayu-Islam.
"Bagi bukan Islam apa sahaja yang dipersetujui dan direncanakan atas asas penyatuan ummah ini tidak akan sesekali meminggirkan mahupun meremehkan realiti kemajmukan Malaysia yang berbilang agama sebagai Agama Persekutuan dan Melayu sebagai bangsa teras. Moga ALLAH rahmati dan berkati niat suci kami ini. Tolong doakan ya!," katanya.