PENDAKWAH kontroversi, Dr Zakir Naik mempunyai cara tersendiri untuk mencari calon isteri buat anak bujangnya, Fariq Naik yang berusia 27 tahun.
Dalam catatan di akaun Facebook miliknya, Dr Zakir memuat naik ciri-ciri wanita yang ingin dicarinya dan biodata anaknya bagi tatapan umum.
Beliau antara lain mencari gadis Muslim yang fasih berbahasa Inggeris dan Arab, hafal al-Quran, ada ijazah pengajian Islam dan minat berdakwah iaitu kualiti sama yang dimiliki anaknya, Fariq. Tiada syarat berkaitan bangsa ditetapkan.
Dr Zakir turut berharap agar orang ramai tidak keberatan untuk terus menghubungi nombor tertera atau menghantar ‘resume’ sekiranya berminat.
Syarat yang ditetapkan Dr Zakir itu tidaklah semustahil syarat Puteri Gunung Ledang untuk menerima pinangan Sultan Melaka. Daripada berjuta gadis di dunia, pastilah ada yang secocok dengan anaknya.
Merak Jalanan percaya ramai ibu bapa di Malaysia mengimpikan anak lelaki dan perempuan mereka mendapat jodoh yang sepadan. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anak bahagia.
Namun begitu, realitinya peranan orang tua dalam mencarikan jodoh untuk anak sudah berubah mengikut peredaran masa. Orang muda kini lebih cenderung memilih jodoh sendiri sebelum merujuk orang tua masing-masing.
Merak Jalanan turut beranggapan tindakan Dr Zakir itu adalah sebahagian usaha dakwahnya. Beliau sekadar ingin memberitahu bahawa didiklah anak kamu menjadi lelaki terbaik, barulah layak untuk mendapat teman hidup yang paling baik.
Lain orang lain caranya. Merak Jalanan yakin jodoh adalah ketentuan Ilahi. Tidak kira betapa kuat kita mencari atau menolaknya, pengakhirannya ibarat pepatah asam di darat, ikan di laut, di dalam belanga bertemu juga.