Bangga dapat sumbang mata sulung Malaysia

Iklan
Aksi Pang Ron dan Yee See ketika Malaysia menentang England di Vantaa pada Isnin.

PEMAIN badminton beregu campuran, Hoo Pang Ron cukup gembira dapat menghadiahkan mata pertama Malaysia ketika menentang England dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Sudirman di Vantaa, Finland pada Isnin.

Pang Ron berkata, mata pertama itu cukup penting sebagai 'modal' buat rakan-rakan sepasukannya untuk tampil lebih tenang bagi menghadapi lawan masing-masing.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya saya dan (Cheah) Yee See begitu teruja apabila menjadi pasangan pertama beraksi. Malah, kami cukup gembira apabila dapat menghadiahkan mata pertama yang penting buat pasukan negara.

"Biarpun kami bukan berstatus pemain pilihan tetapi tetap diakui terasa sedikit tekanan pada pertengahan perlawanan, namun kami berjaya mengatasinya,” katanya.

Iklan

Pang Ron-Yee See yang berstatus ke-27 dunia mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan ranking ketujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith dengan kemenangan 21-19, 21-18 dalam tempoh 48 minit. Yee See pula mengakui menentang pasangan berpengalaman dari England itu sememangnya memerlukan semangat juang dan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan.

"Cabaran menentang pasangan dalam kelompok 10 terbaik dunia ini bukan mudah. Namun, apabila berada di gelanggang kami memberikan yang terbaik dengan misi memburu kemenangan,” ujarnya.

Iklan

Dalam kemenangan 3-2 ke atas England itu, dua lagi mata Malaysia disumbangkan menerusi jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.