Penghuni 'tirai besi' syukur tidak dilupakan

Iklan
Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan pada Program Imunisasi Covid-19 bagi penghuni Penjara Penor.- Foto Bernama

KUANTAN - Walaupun berada di sebalik tembok besi, penghuni Penjara Penor di sini bersyukur kerana tidak dilupakan dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19 sebagai perlindungan diri daripada wabak berbahaya itu.

Banduan yang dikenali sebagai Tan, 30, mengakui sering tertanya-tanya bilakah dia akan menerima suntikan tersebut kerana banyak mengetahui mengenai Covid-19 menerusi media massa sebelum dipenjarakan pada Februari lepas.

Iklan
Iklan

"Ketika perbualan telefon dengan orang tua sebelum ini, mereka ada bertanyakan tentang vaksin di penjara. Jika berpeluang bercakap lagi, saya hendak beritahu saya sudah divaksin...sekurang-kurangnya mereka akan berasa lega," katanya kepada Bernama.

Anak jati Kuala Lumpur yang sedang menjalani hukuman penjara selama dua tahun kerana melanggar perintah pengawasan polis itu, ditemui selepas menerima suntikan kedua dos vaksin Sinovac di penjara tersebut pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Aizi, 29, dari Felda Jengka, Maran yang menjalani hukuman penjara lima tahun dari 2019 kerana kesalahan dadah, berkata, beliau tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin itu kerana bimbang sama ada masih berpeluang mendapatkan suntikan tersebut secara percuma setelah dibebaskan kelak.

"Walaupun berada dalam penjara, kami dimaklumkan mengenai kepentingan dan kebaikan mengambil vaksin. Saya tahu ia penting untuk beri kami perlindungan diri dan sejak itu saya menanti-nantikan panggilan untuk mendapatkan vaksin," katanya.

Iklan
Banduan berbaris menunggu giliran untuk divaksin oleh petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan pada Program Imunisasi Covid-19 bagi penghuni Penjara Penor. - Foto Bernama

Bagi Nanthan, 32, yang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyamun sejak pertengahan tahun lepas mengakui agak bimbang untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera, namun kini boleh menarik nafas lega setelah turut menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, Pengarah Penjara Penor, Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, penjara itu sudah mencapai imuniti kelompok semalam, apabila lebih 90 peratus daripada 1,823 banduan termasuk warga asing di situ lengkap vaksinasi.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 408 penghuni menerima vaksin CanSino manakala selebihnya menerima vaksin Sinovac dengan pemberian dos pertama pada 6 dan 7 September lepas, diikuti dos kedua pada Isnin dan Selasa.

Pemberian vaksin dikendalikan 25 petugas kesihatan yang berada di penjara selama lapan jam bermula 9 pagi, di bengkel tenun yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) Penjara Penor dengan tujuh stesen vaksinasi di bawah pengawasan dan bantuan kakitangan penjara.

"Penghuni yang divaksin juga diberikan kad vaksinasi Covid-19 yang disimpan pihak penjara dan akan diserahkan kepada mereka semasa dibebaskan kelak. Selain sebagai dokumen perakuan sudah menerima vaksin, ia juga membantu mereka yang hanya menerima satu dos di sini untuk mendapatkan dos kedua di luar," katanya.

Fayrouz memerhati seorang banduan menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan pada Program Imunisasi Covid-19 bagi penghuni Penjara Penor. - Foto Bernama

Fayrouz berkata, pemberian vaksin di dalam penjara membantu mengurangkan penularan wabak itu, ditambah pula dengan langkah pencegahan oleh pihak penjara termasuk tindakan meletakkan penghuni baru diterima di pusat transit penerimaan banduan selama 14 hari bagi tujuan pemerhatian.

Selepas disahkan negatif, banduan terbabit sekali lagi dikuarantin selama enam hari dalam penjara sebelum dipindahkan ke blok kediaman masing-masing.

Sejak 1 Ogos lepas, jumlah kumulatif banduan di penjara itu yang disahkan positif ialah 269 orang dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Penjara Bentong.

"Kita juga mengambil inisiatif mengukur bacaan oksigen dalam darah menggunakan Pulse Oximeter sebanyak tiga kali sehari sebagai pemantauan dan penghuni yang mempunyai bacaan rendah, akan terus dikejarkan ke hospital bagi mengelakkan kejadian lebih teruk," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kakitangan penjara juga akan melakukan proses sanitasi di semua sel setiap hari bagi memastikan keselamatan penghuninya. - Bernama