SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan peraturan dan badan kawal selia dalam membantu menyelesaikan semua masalah teknikal terutamanya berkaitan aplikasi perkhidmatan e-hailing dan p-hailing bagi menjaga kebajikan pemandu.
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, terdapat syarikat yang memanipulasi sistem ekonomi gig hingga ada mensyaratkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang memberikan tekanan kepada penghantar p-hailing.
"Nasib mereka dilihat seolah-olah esoknya tidak tahu apa akan berlaku. Golongan ini juga selalu terdedah risiko bahaya di jalan raya yang merupakan tempat kerja mereka.
"Jadi sudah semestinya mereka terdedah dengan risiko sangat tinggi. Tidak kira sama ada dilanggar orang atau masalah sistem komunikasi. Inilah nasib penghantar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar Live Edisi ke-292 yang bertajuk Nasib Si ‘Penghantar’ pada Selasa.
Turut menjadi panel, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahari Mansor dan Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin serta Ismail Adnan sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Zulhelmi berkata, kerajaan perlu campur tangan dalam memastikan gig ekonomi menjadi sistem yang merangkumi pelanggan, syarikat penyelia dan rakan-rakan penghantar.
"Kami menyambut baik apa yang diumumkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengenai satu rangka kawal selia yang sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna dilindungi.
"Di peringkat penghantar, apabila bersama dengan Pergerakan Pemuda UMNO melalui Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda dan MTUC menerusi lima resolusi, kami nampak ke mana hala tuju,” ujar beliau.