PUTRAJAYA - Akibat gagal mematuhi pampasan (Award) yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) seorang pengarah syarikat agensi pelancongan meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam dalam kenyataan berkata, lelaki tersebut gagal membayar jumlah pampasan RM22,106 kepada tiga individu yang membuat tuntutan.
"Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun," katanya.
Menurutnya, bagi kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
"Setelah selesai perbicaraan lelaki berkenaan selaku orang kena saman (OKS) gagal membuktikan keraguan yang munasabah di peringkat pembelaan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, Majistret Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan jika gagal dia akan dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan.
"Lelaki berkenaan gagal membayar denda untuk tiga pertuduhan tersebut dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman," katanya.
Azman berkata, pihaknya memandang serius ketidakpatuhan Award TTPM oleh orang ramai.
"Kementerian berharap hukuman ini menjadi peringatan kepada semua supaya menghormati hak-hak pengguna dalam melaksanakan perniagaan," katanya.