SHAH ALAM - Pemaju hartanah terkemuka, Glomac Berhad (Glomac) merancang untuk melancarkan produk baharu bernilai RM282 juta pada tahun ini.
Glomac dalam satu kenyataan berkata, pelancaran tersebut tepat pada masanya memandangkan sebahagian besar daripada produk kediaman kumpulan sudah hampir habis dijual dan sekatan ekonomi kini sudah mula dilonggarkan.
"Pelancaran baharu yang dirancang terutamanya terdiri daripada fasa kediaman bertanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik yang mendapat sambutan kukuh daripada para pembeli kami.
"Pelancaran baharu turut membabitkan pembangunan pertama Saujana Utama 5 di Sungai Buloh, bandar kediaman baharu kami yang amat dinanti-nantikan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM299 juta,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Glomac telah melancarkan secara rasmi Primrose di Saujana KLIA, Sepang pada awal September 2021.
"Rumah teres dua tingkat sebanyak 123 unit dengan GDV berjumlah RM65 juta ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli sejak pelancarannya. Saujana KLIA terletak berhampiran Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan mempunyai GDVyang dianggarkan mencecah RM1.43 bilion.
"Pelancaran terdahulu terdiri terutamanya daripada rumah teres dan pejabat kedai berjumlah RM525 juta, semuanya telah habis dijual.
"Pada suku pertama, Glomac juga telah menyerahkan kesemua 103 unit rumah teres dua tingkat Acadian di Saujana Rawang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, walaupun menghadapi banyak kekangan akibat pandemik sejak awal 2020, penyerahan yang mengikut jadual ini menyusuli kejayaannya yang serupa bagi rumah Tresna Teruntum di Saujana Perdana, Sungai Buloh.
"Tidak lama lagi bulan pada Oktober, kumpulan juga dijangka menyerahkan rumah kediaman Tresna Teratai tepat pada masanya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Glomac juga berharap untuk memacu momentum jualannya, memberi tumpuan dalam usaha menyempurnakan jualan daripada pembangunan kediaman tinggi sedia ada seperti Plaza@ Kelana Jaya dan 121 Residences dan pelancaran baharu.
"Glomac juga telah menerima pakai norma digital baharu, lantas menambah nilai kepada produknya dengan menyediakan kemudahan sambungan jalur lebar dan susun atur yang sesuai untuk bekerja dari rumah.
"Glomac juga telah memperkenalkan pemasaran digital untuk menyokong pendekatan konvensional yang mengukuhkan usaha pemasaran kami.
"Pelonggaran sekatan ekonomi dan sambungan aktiviti pembinaan akan memberikan sumbangan positif kepada prestasi kami dalam tempoh terdekat, disokong oleh jualan belum dibil Glomac yang berjumlah RM580 juta,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kumpulan tetap berhati-hati kesan berpanjangan pandemik Covid-19 terhadap pasaran hartanah dan sentimen serta prospek jangka panjang tetap cerah.
"Berlandaskan lembaran imbangan kumpulan yang kukuh, Glomac berada pada kedudukan yang baik untuk menggiatkan lagi aktiviti pembinaan, sedia memanfaatkan pembangunan yang dirancang rapi dengan anggaran GDV mencecah RM8 bilion,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Glomac mencatat pendapatan berjumlah RM28.8 juta dan untung sebelum cukai RM3.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2022.