QUITO - Sekurang-kurangnya 24 banduan terbunuh dalam pertempuran antara tahanan yang bersenjata dan bom tangan di sebuah penjara di Guayaquil, Ecuador, kata seorang pegawai pada Selasa.
Biro Kebangsaan Tahanan (SNAT) mengesahkan angka kematian itu dan menurunkan bilangan yang cedera daripada 48 kepada 42 orang.
Iklan
Iklan
Seorang komander polis wilayah, Fausto Buenano berkata, angka kematian itu termasuk tahanan yang ditembak mati dan dibunuh dalam letupan bom tangan.
Bagaimanapun, Presiden Ecuador, Guillermo Lasso membuat ciapan dengan mengumumkan bahawa ketenteraman telah kembali pulih di penjara Littoral selepas insiden tersebut.
Penjara di Ecuador kerap menjadi pertempuran antara tahanan-tahanan kumpulan penyeludupan dadah terutamanya daripada kartel Sinaloa dan New Generation Jalisco.
Guayaquil yang merupakan pelabuhan utama Equador ialah pusat utama penghantaran kokain terutamanya ke Amerika Syarikat (AS).
Pada minggu lalu, polis merampas dua pucuk pistol, sepucuk revolver, kira-kira 500 peluru, sebutir bom tangan, beberapa bilah pisau, dua batang dinamit dan bahan letupan buatan tangan di salah sebuah penjara di bandar pelabuhan tersebut. - Agensi