Kelantan sasar aktiviti ekonomi berasas pelancongan 2019 kembali aktif

Iklan
Aidil (dua dari kanan) berbincang mengenai langkah penjagaan SOP yang sesuai di kawasan ekopelancongan.

KUALA KRAI - Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan menyasarkan aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan pada 2019 lalu kembali aktif, tahun hadapan.

Pengarahnya, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, aktiviti berkenaan diharapkan kembali seperti dulu namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan kerajaan melibatkan kawalan penularan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Kami cuba untuk mengembalikan semula aktiviti pelancongan dan aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan pada 2022 sama seperti 2019 tetapi dalam keadaan norma baharu.

"Contohnya tahun ini kerajaan mulakan di Langkawi, saya difahamkan di sana semua aktiviti sudah kembali cuma bezanya dengan norma baharu," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Iklan

Mohd Aidil sebelum itu melakukan perbincangan di lapangan melibatkan langkah-langkah penjagaan SOP kawasan eco-pelancongan di negeri ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah (Ecopark dan Hutan Taman Negeri) Kelantan, Juliana Yahya dan Ketua Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Aidil berkata, selain itu beberapa sasaran lain juga dikenal pasti seperti pusat-pusat tumpuan pelancong seperti Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Pasar Siti Khadijah dan dua kawasan bebas cukai di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

Katanya, empat lokasi berkenaan perlu kembali aktif memandangkan ia adalah antara pilihan pelancong terutama mereka yang datang dari negeri-negeri yang aktif dalam ekonomi.

"Kawasan ini mudah dikawal sebab kebetulan pelancong di negeri ini boleh dikatakan pelancong domestik dari Malaysia sendiri. Mereka akan beli barangan tempatan dan inilah sasaran kita.

"Untuk permulaan ini, sasarkan perantau berada di luar negeri. Antaranya di Lembah Klang, Johor, Penang dan beberapa negeri yang mempunyai aktiviti ekonomi rancak," katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran pencapaian ekonomi berasaskan pelancongan di negeri ini, Mohd Aidil memberitahu, perkara tersebut perlu mengambil masa mengikut keadaan semasa pandemik Covid-19.

Katanya, jangkaan paling mudah adalah mengikut jangkaan dunia iaitu dalam tempoh 10 tahun bagi mengembalikan kestabilan dalam situasi endemik kini.