DHAKA - Seorang lelaki Bangladesh yang berusia dalam lingkungan 80-an bersatu semula dengan ibunya yang berumur hampir 100 tahun minggu lalu setelah berpisah kira-kira 70 tahun.
Pertemuan dua beranak itu dilakukan menerusi bantuan media sosial.
Abdul Kuddus Munshi sebelum ini dihantar ke rumah seorang pak ciknya semasa dia berumur 10 tahun.
Namun, dia terputus hubungan dengan keluarganya selepas melarikan diri dan menjadi anak angkat kepada dua beradik perempuan.
"Ini merupakan hari yang paling gembira dalam hidup saya," kata lelaki tersebut yang berusia 82 tahun itu kepada AFP dari Brahmanbaria, timur Bangladesh.
Pada April lalu, Abdul Kuddus yang merupakan seorang ahli perniagaan menghantar satu video di Facebook untuk meminta bantuan pengguna laman sosial itu bagi mencari keluarganya.
Seorang saudara Abdul Kuddus kemudian berjaya mengesan keluarga ahli perniagaan tersebut dan kemudian menghubunginya.
Saudara jauhnya itu menyatakan bahawa ibu ahli perniagaan itu, Mogola Nessa masih hidup.
Justeru, Abdul Kuddus yang merupakan seorang bapa kepada tiga anak lelaki dan lima anak perempuan pergi menemui ibunya yang tinggal sejauh 350 kilometer dari bandar Rajshahi.
Pada minggu lalu, dia menemui ibunya itu yang mengecam ahli perniagaan itu sebagai anaknya melalui tanda yang terdapat pada tangannya.
"Ibu saya amat tua dan dia tidak dapat bercakap dengan sempurna. Dia menangis apabila berjumpa dengan saya. Saya memberitahunya anak lelakinya sudah kembali dan dia tidak
perlu lagi bimbang," katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi