'Pujukan' Kala, Suria berjaya pindahkan Awang Nor

Iklan
Awang Nor yang 'menceroboh' masuk ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai berjaya dipindahkan oleh Perhilitan Kelantan pada Selasa.

KUALA KRAI - Seekor gajah jantan yang 'menceroboh' masuk ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Sungai Tias di sini, berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Selasa.

Gajah berusia antara 15 hingga 20 tahun yang diberi nama Awang Nor itu dipindahkan ke kawasan Taman Negara Kelantan- Terengganu-Pahang.

Iklan
Iklan

Proses pemindahan Awang Nor seberat dua tan itu dilakukan dengan bantuan 'pujukan' dua ekor gajah denak iaitu Kala dan Suria.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, seramai 25 orang kakitangan Perhilitan Kelantan, Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang telah terlibat dalam operasi pemindahan ini.

Iklan

"Bertindak atas aduan, pada 25 September, seramai lapan kakitangan Perhilitan Kelantan telah bertindak menghalau gajah liar itu supaya kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Susulan itu, Perhilitan Kelantan telah menjalankan operasi tangkapan gajah liar berkenaan sehari kemudian.

Iklan

Katanya, sekitar jam 10.30 pagi Perhilitan Kelantan telah berjaya menangkap gajah liar tersebut.

Ady Ermanty Haniff berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan penduduk mengalami kerugian berterusan selain memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik.

"Anggaran jumlah kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan tersebut pada tahun ini berjumlah RM70,000.

"Gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa untuk mencari sumber makanan," katanya.

Menurutnya, populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor.