Video tular dua pelajar meninggal dunia sebab vaksin tidak benar

Iklan
Tangkap layar video tular yang mendakwa dua pelajar sebuah sekolah di Perak meninggal dunia akibat pengambilan vaksin Covid-19.

IPOH - Video tular mendakwa dua pelajar sebuah sekolah di Perak meninggal dunia akibat kesan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak benar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kematian dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai seperti mana didakwa dalam video berkenaan tiada kena mengena dengan vaksin.

Iklan
Iklan

"Pada 18 Julai lalu, kita terima laporan seorang pelajar perempuan sekolah itu meninggal dunia disebabkan positif Covid-19.

"Pelajar itu memang menghidap sakit kencing manis serta darah tinggi yang kronik dan dua bulan kritikal di Hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, kematian seorang lagi pelajar pula dilaporkan pada 17 September lalu membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun yang meninggal dunia disebabkan sakit jantung.

"Kedua-dua kejadian ini tiada kena mengena dengan vaksin kerana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) hanya bermula pada 20 September lalu," katanya.

Iklan

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu termasuk memanggil individu yang terlibat dalam rakaman video terbabit.

Video berdurasi satu minit 38 saat yang tular sejak Selasa itu dipercayai dirakam dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.