ALOR SETAR - Seorang peniaga kerugian sebanyak RM80,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang memperkenalkan diri dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berusia 68 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan mangsa mempunyai hutang tertunggak.
Elias menjelaskan, bagaimanapun mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan bercakap dengan seorang pegawai polis.
"Seterusnya, panggilan disambung ke pihak Telekom Malaysia untuk menyakinkan lagi bahawa ia merupakan talian dari IPK Melaka dan disambung ke Bukit Aman untuk mendengar siaran radio berkaitan kad pengenalan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.
"Mangsa ditakutkan dengan waran tangkap yang didakwa telah dikeluarkan ke atasnya dan diarahkan untuk menyalurkan wang simpanan kepada Bank Negara Malaysia dengan segera sebagai tanda memberi kerjasama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa sekali lagi ditakutkan dengan membuat akuan sumpah secara maya untuk menyimpan rahsia dan tidak boleh mendedahkan kes kepada sesiapa termasuk ahli keluarga.
"Pada Isnin, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah RM80,000 ke dalam akaun yang ditentukan oleh suspek," katanya.
Menurut Elias, mangsa hanya menyedari telah diperdaya apabila isterinya mengetahui mangsa mendepositkan sejumlah wang di bank.
"Mangsa tampil di Balai Polis Kota Setar untuk membuat laporan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan sindiket penipuan Macau Scam ini," katanya.
Tambahnya, jabatan kerajaan khususnya pihak polis akan berhubung melalui telefon untuk membuat janji temu sahaja dan urusan lanjut akan dijalankan di pejabat kerajaan yang berkaitan," katanya.
Orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule atau pautan URL http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan Bank Negara Malaysia mengenai kesahihan akaun bank atau menghubungi CCIS Response Center di talian 03- 2610 1559/1599 sekiranya memiliki sebarang kemusykilan atau pertanyaan.