KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati tahap guna tenaga sektor pelancongan negara menurun sebanyak 2.9 peratus atau 3.5 juta pada tahun lalu berbanding 3.6 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, data itu diperoleh menerusi Akaun Satelit Pelancongan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Data guna tenaga dalam industri pelancongan ini merangkumi 34.5 peratus dalam sektor makanan dan minuman (F&B), 33.4 peratus dalam sektor peruncitan dan 17.4 peratus dalam perkhidmatan khusus pelancongan negara," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambahnya, bagi mengatasi kemerosotan itu, MOTAC telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu menghidupkan semula aktiviti pelancongan.
Katanya, ia demi memastikan kelangsungan pekerjaan dalam sektor ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Antara inisiatif yang diambil adalah menyediakan kemudahan pusat kuarantin melibatkan 378 buah hotel di seluruh negara yang telah bersetuju dijadikan Stesen Kuarantin Covid-19 bagi di bawah program kuarantin wajib ke atas individu yang memasuki Malaysia dari luar negara.
"Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.
Selain itu, langkah lain yang turut diambil adalah menyediakan kemudahan pusat kuarantin dan juga hostel sementara bagi pekerja asing sedia ada di Malaysia di bawah Program Penempatan Sementara Pekerja Di Hotel mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
"MOTAC turut mengadakan kerjasama strategik bersama pihak industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) bagi penggunaan fasiliti hotel dan pusat konvensyen untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.