RM3.04 juta barang seludup dirampas Batalion 7

Iklan
Azhari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada beras siam yang dirampas dalam serbuan di Kampung Limau Purut, Rantau Panjang pada Selasa.

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan digunakan untuk kegiatan itu bernilai RM3.04 juta sepanjang tempoh dua minggu Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, sejak mengambil alih tugas Op Benteng Covid-19 pada 16 September lalu pihaknya menahan 48 individu terlibat penyeludupan.

Iklan
Iklan

"Kesemua individu ditahan ini merupakan warga tempatan dan Thailand selepas terlibat aktiviti penyeludupan," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di sini pada Rabu.

Menurutnya, seramai lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sepanjang tempoh operasi itu.

Iklan

Katanya, sepanjang tempoh itu kes berkait Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penyumbang tertinggi kepada nilai rampasan iaitu berjumlah RM1.027 juta.

Azhari berkata, penyumbang kedua nilai tertinggi rampasan berkait dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjumlah RM1.004 juta.

Iklan

"Pada Selasa sekitar jam 4.30 petang, kami menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis beras Siam dalam serbuan di Kampung Limau Purut.

"Nilai rampasan kesemua beras itu dianggarkan berjumlah RM11,000," katanya.

Menurutnya, PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan membuat pemantauan di pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor, Tumpat bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.