PUTRAJAYA- Seramai 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas diseru untuk membuat Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) selama sebulan mulai 1 Oktober ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka yang terlibat perlu menyemak dan mengesahkan maklumat.
"Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, mereka dinasihatkan untuk mengemas kini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2021," katanya.
Menurutnya, urusan SPPA boleh dilakukan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my.
"Pemilih juga boleh hadir ke 604 tempat semakan di seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
"Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my," katanya.
Undi 18 dijangka dilaksanakan pada tahun ini seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.