Lebih 30 negara gesa agihan vaksin secara adil

Iklan
Wakil tetap China ke PBB, Chen Xu yang mewakili lebih 30 negara membangun menyeru agar pengagihan vaksin dilaksanakan secara adil di seluruh dunia.

GENEVA - Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Chen Xu yang mewakili lebih 30 negara membangun termasuk Rusia, Indonesia, Pakistan, Mesir, Mexico dan Afrika Selatan menyeru agar pengagihan vaksin dilaksanakan secara adil di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan pada Selasa di simposium wabak Covid-19 sempena Sidang ke-48 Majlis Hak Asasi Manusia PBB, beliau berkata, ia berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak itu dan keadaan virus yang bermutasi.

Iklan
Iklan

Menurut Chen, keadaan itu sedang mengancam nyawa rakyat terutamanya di negara membangun dan mempengaruhi pembangunan sosioekonomi.

"Vaksin yang merupakan mekanisme berkesan dalam mengatasi wabak dan sepatutnya dijadikan produk awam sejagat itu berhadapan dengan isu ketidakseimbangan atau kesenjangan dalam pengagihannya di peringkat global.

Iklan

"Kami menyokong seruan PBB mengenai pengagihan vaksin secara saksama, menggesa setiap negara mengutamakan hak nyawa dan kesihatan rakyat, bukannya isu yang lain seperti kepentingan ekonomi dan pertimbangan politik, dan tidak melaksanakan amalan 'nasionalisme vaksin',” kata Chen.

Beliau berkata, mengambil semangat kerjasama dan solidariti, masyarakat antarabangsa sewajarnya melaksanakan amalan multilateralisme termasuk dengan menambah bantuan kepada negara membangun.

Iklan

"Langkah itu membolehkan vaksin dan produk kesihatan lain mudah dan mampu diperolehi negara membangun terutamanya negara yang paling ketinggalan,” katanya.

Negara anggota PBB dan pihak-pihak yang terbabit diseru untuk meningkatkan pengeluaran vaksin di samping membantu negara membangun meningkatkan kapasiti pengeluaran vaksin melalui pengeksportan, sumbangan, penyelidikan bersama, pengeluaran berdaftar serta pemindahan teknologi. - Bernama