Menteri Besar gembira Kelantan diutamakan dalam RMK12

Iklan
Ahmad ketika ditemui pemberita di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob gembira apabila negeri ini antara yang diberi keutamaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau sehubungan itu menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri atas keprihatinan tidak meminggirkan Kelantan.

Iklan
Iklan

"Ini menunjukkan keprihatinan kepimpinan beliau yang memberi keutamaan kepada Kelantan dalam pengagihan peruntukan pembangunan.

"Saya amat berpuas hati dengan RMK12 yang dibentangkan pada Isnin lalu oleh kerajaan Persekutuan kerana meletakkan Kelantan antara enam negeri yang akan diberikan keutamaan selain Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Kelantan turut berharap rakyat di negeri ini akan mendapat manfaat menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 yang diketengahkan.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25.8 bilion menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 bertujuan menambah baik liputan dan perkhidmatan air, sekali gus menjamin bekalan serta kemampanannya.

Iklan

"Jumlah itu satu nilai yang besar. Jadi saya berharap akan ada kepentingan rakyat Kelantan menerusi peruntukan tersebut,” ujar beliau.