SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi tiga negeri dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada beberapa sektor berkuatkuasa 1 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor) dan Melaka beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3, manakala Kedah pula beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, peralihan fasa itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.
"SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penganjuran majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk majlis perasmian serta bengkel dibenarkan di negeri Fasa 2 dan 3.
Bagaimanapun, katanya, ia perlu mematuhi syarat iaitu tetamu sudah menerima vaksinasi lengkap dengan kapasiti dibenarkan sebanyak 50 peratus ruang premis untuk Fasa 2 dan 3, manakala kapasiti penuh seratus peratus bagi Fasa 4.
Ujar beliau, bagi individu yang belum menerima vaksin, perlu menjalani 'pre-event test' menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.
Beliau berkata, sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dibuka di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuat kuasa pada 15 Oktober ini.
"Selain itu, kehadiran penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan 4 juga dibenarkan.
"Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat penonton telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.
"Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun bagaimanapun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin pada Selasa.
Pada masa sama, katanya, PICK Remaja mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan sebanyak 1,217,386 dos vaksin telah diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.
"Perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan.
"Seperti yang telah saya umumkan pada 22 September lalu, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus.
"Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama,” kata beliau.