MBSA tawar pengurangan kompaun sehingga 70 peratus

Iklan
MBSA juga akan memberi pengurangan RM10 bagi kompaun tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) sepanjang Oktober ini.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal memberi pengurangan kompaun sehingga 70 peratus bersempena ulang tahun bandar raya itu yang ke 21.

Pelaksanaan kempen pengurangan kompaun berkenaan bermula dari 1 hingga 31 Oktober depan.

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen yang dilaksanakan ini juga adalah bagi menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan bayaran tunggakan mereka sebelum tindakan tegas dikenakan.

"Jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 70 peratus adalah melibatkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman (MBSA) 2005, UUK Vandalisme (MBSA) 2005, UUK Establisyemen Makanan (MBSA) 2007 dan UUK Iklan (MBSA) 2007.

Iklan

"Selain itu, antara kesalahan lain yang layak adalah UUK Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 207 dan UUK Pasar (MBSA) 2007," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, MBSA juga akan memberi pengurangan RM10 bagi kompaun tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) sepanjang Oktober ini.

Iklan

Menurut Shahrin, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini bagi menjelaskan bayaran tunggakan masing-masing sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"OKK boleh menyelesaikan bayaran tunggakan masing-masing di kaunter utama, kaunter pandu lalu, Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

"Selain itu, mereka juga boleh membuat pembayaran melalui SnapNpay, Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat bagi kesalahan yang sama," katanya.