SHAH ALAM - Kerja-kerja membina pagar penghadang ‘hoarding’ bersebelahan Tokong Cina Chee How, Cheras adalah bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi dan bukan untuk merobohkan binaan tokong itu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, di kawasan tersebut terdapat dua sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang akan dibina 24 kelas.
Menurutnya, Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei 2021 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Putrajaya terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung yang berada bersebelahan tokong tersebut.
"Dalam video tular pada Selasa yang berdurasi 76 saat dikongsi di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How itu, menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa cuba mahu merobohkan rumah ibadat mereka.
"Ini menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan tidak sihat dalam kalangan netizen khususnya di ruangan komentar media sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, seramai empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden 30 individu menghalang dan menyerang anggota polis kerana membantah pembinaan pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan di sini.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, walaupun keadaan berjaya diredakan, namun ia perkara yang serius kerana melibatkan kekeruhan persepsi antara penganut dan kepercayaan dengan pihak berkuasa.
Katanya, apatah lagi ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
"Justeru, saya pohon pihak berkuasa berkaitan dapat menyegerakan kes siasatan ini agar punca permasalahan insiden tersebut dapat diperoleh segera dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni.
"Semua pihak sama ada penganut, pihak berkuasa mahupun netizen di media sosial dinasihati agar mencari titik penyatuan dan memberhentikan proses menggali perbezaan agar permuafakatan yang ideal bersama dapat dibentuk,” katanya.
Tambah beliau, insiden tersebut tidak boleh berlaku di mana-mana tempat demi menjaga prinsip sebagai Keluarga Malaysia yang tercinta.