WASHINGTON - Pegawai tertinggi Pentagon menyifatkan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan sebagai satu kesilapan.
Kenyataan itu diberikan ketika Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin; Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley dan Komander Pusat Perintah AS, Jeneral Kenneth McKenzie memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat pada Selasa.
Sidang dihadiri anggota Parti Republikan dan Demokrat itu bertujuan untuk mengkritik misi pemindahan huru-hara di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul yang turut digemparkan dengan serangan bunuh diri yang mengorbankan 13 anggota tentera Amerika.
Milley yang menolak desakan anggota Parti Republikan supaya meletak jawatan dilihat cuba mempertahankan operasi tersebut walaupun ia dikatakan telah mencalarkan kredibiliti AS dan mendedahkan kegagalan strategi.
Ketika disoal tentang keputusan pengunduran tentera AS, Milley dan MecKenzie menyatakan mereka ada mencadangkan kepada Presiden Joe Biden supaya mengekalkan kira-kira 2,500 anggota tentera di negara tersebut.
"Penempatan pasukan tentera AS dianggap perlu kerana ancaman masih tinggi berikutan Taliban masih berhubungan dengan kumpulan militan al-Qaeda yang merancang serangan 9/11 dari Afghanistan.
"Kehadiran mereka untuk mengawasi pemerintahan Taliban atau memantau situasi jika negara itu kembali terjerumus ke dalam kancah perang saudara. Oleh itu, kita perlu terus melindungi rakyat Amerika daripada serangan yang mungkin dirancang di Kabul,” ujar Milley.
Pada April lalu, Biden mengarahkan pengunduran sepenuhnya pasukan tentera Amerika menjelang 31 Ogos 2021 susulan perjanjian dicapai Taliban bersama pentadbiran pendahulunya, Donald Trump. - Agensi