Tingkat kualiti hidup rakyat pasca Covid-19 dalam RMK12

Iklan
Gambar dari kiri: Azalina, Wan Azizah

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang berpandangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat pasca pandemik Covid-19.

Semasa sesi perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat pada Rabu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula menyifatkan RMK12 sebagai 'ibu segala perancangan' kepada pemulihan daripada impak penularan Covid-19 yang perlu digarap secara lengkap dan menyeluruh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan perlu menukar pendekatan atas ke bawah kepada bawah ke atas iaitu mengambil kira pandangan rakyat dalam menyediakan usaha pemulihan yang sejajar dengan tema RMK12 iaitu Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan.

"Kita tidak boleh lagi Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) tahu dan lihat semua, Putrajaya tahu segalanya... perlu setiap ahli Parlimen mainkan peranan masing-masing tidak mengira parti untuk bantu kerajaan selesaikan perancangan pemulihan bencana.

Iklan

"Jangan kita terlalu ghairah dalam pembangunan fizikal sehingga kita lupa golongan rentan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) berpendapat, data mengenai penurunan kelas pendapatan daripada M40 kepada B40 perlu diperhalusi dengan lebih terperinci dengan pendekatan mikro bagi memahami keadaan yang ditanggung isi rumah M40 berikutan pandemik Covid-19.

Iklan

Beliau mencadangkan kerajaan agar mengkaji dengan lebih terperinci mengenai komposisi serta profil isi rumah yang terjejas meliputi lokasi tempat tinggal, profil pekerjaan dan komitmen yang ditanggung.

"... ini bagi memastikan bantuan yang diberikan lebih bersasar dan mampu membuat penilaian yang lebih tepat terhadap jenis dan bentuk bantuan yang diberikan,” katanya.

Dalam usaha membantu usahawan bumiputera B40 pula, beliau mencadangkan lebih banyak bantuan dalam bentuk geran diberikan berbanding dalam bentuk pembiayaan atau pinjaman kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mahu memohon pinjaman atau pembiayaan berikutan tidak mampu membayar pinjaman yang ditawarkan.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pula berkata, kerajaan perlu berusaha meningkatkan keselamatan persaraan rakyat dengan memastikan caruman masa depan mereka mencukupi.

Ini termasuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan tetap kerana kebanyakan rakyat berhadapan dengan ketidakcukupan simpanan persaraan disebabkan pendapatan mereka yang tidak stabil.

"Kita perlu fikir apakah dasar ekonomi untuk pesara Malaysia, bagaimana mereka boleh mengurangkan retirement crisis (krisis persaraan) kerana angka warga emas di negara ini semakin meningkat dan dengan simpanan persaraan yang kurang bagaimana mereka mahu survive (meneruskan kehidupan),” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) pula mahu kerajaan mengambil serius isu pembukaan sekolah kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada negara dan masyarakat sekiranya pelajar tidak dapat menghadiri sesi persekolahan secara sempurna.

Beliau berkata, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) menganggarkan 1.6 bilion pelajar dalam 190 negara seluruh dunia, tidak dapat hadir ke sekolah akibat pandemik dan perkara itu akan menyebabkan implikasi serius.

"Sebelum pandemik pun ada pelajar yang naik sampai darjah enam tetapi tidak boleh membaca dan pandemik Covid-19 (yang menyebabkan ramai pelajar tidak dapat hadir ke sekolah) boleh menambah golongan itu,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, peningkatan murid yang tidak boleh membaca akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan mereka selain kualiti dan produktiviti negara pada masa hadapan.

Persidangan dewan bersambung pada Khamis. - Bernama