PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pasukannya lebih baik berbanding Paris Saint Germain (PSG) ketika pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes pada awal pagi Rabu.
Menurut Guardiola, kegagalan City untuk menyudahkan beberapa peluang dan gol cantik daripada Lionel Messi menyaksikan mereka terpaksa tunduk 0-2 kepada kelab gergasi Perancis itu.
"Persembahan yang baik. Kami lakukan segalanya namun tidak dapat jaringkan gol. Kami bertahan dengan baik dan mereka juga sama dengan serangan balas yang berbahaya daripada PSG. Kami mengawal perlawanan cuma gagal jaringkan gol. Ini adalah bola sepak dan tidak ada apa yang saya boleh katakan lagi.
"Pada separuh masa kedua, kami mendapat banyak peluang. Donnarumma melakukan banyak aksi menyelamat yang baik. City telah melakukan yang terbaik dan ini adalah pasukan sama seperti ketika tewaskan Chelsea di Stamford Bridge.
"Sedikit kecewa kerana kami bermain untuk menang dan PSG tidak perlu bersusah payah untuk menjaringkan gol kerana bijak memanfaatkan peluang,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Idrissa Gueye meletakkan PSG di hadapan seawal minit ketujuh perlawanan sebelum Messi meledak gol pertama peribadinya buat pasukan pada minit ke-73.
Keputusan itu menyaksikan City menderita kekalahan pertama dalam saingan kumpulan di Liga Juara-Juara sejak September 2018 ketika tewas di tangan Lyon.
Ia juga menyaksikan PSG kini berada di kedudukan teratas Kumpulan A diikuti Club Brugge, City dan RB Leipzig.
Dalam pada itu, Guardiola tidak risau dengan kekalahan tersebut dan yakin ia tidak akan memberikan impak besar ketika berhadapan dengan satu lagi perlawanan penting menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
"Saya tidak nampak ia sebagai satu masalah selepas kekalahan ini. Kami akan bersedia untuk menghadapi Liverpool,” katanya.