RASMI sudah Singapura dipilih sebagai tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022. Perkara itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) pada Selasa.
Mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, Singapura telah dipilih sebagai tuan rumah kerana memenuhi semua kriteria yang ditetapkan AFF dari segi sokongan kerajaan, kewangan, keselamatan, fasiliti perubatan, penyediaan penginapan dan kemudahan sukan.
Sebanyak 10 pasukan akan ‘berkampung’ di Singapura selepas kejohanan itu ditangguhkan tahun lalu ekoran Covid-19. Tiga venue dijangka menjadi pilihan iaitu Stadium Nasional Singapura, Stadium Bishan dan Stadium Jalan Besar.
Kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos. Juara lima kali, Thailand pula berada dalam Kumpulan A bersama Filipina, Myanmar, Singapura dan pemenang aksi kelayakan sama ada Timor Leste atau Brunei.
Di atas kertas, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dilihat memiliki peluang cerah untuk mara ke separuh akhir - dengan syarat mereka tidak menghadapi masalah ‘meratah’ Kemboja dan Laos serta membenam cabaran Indonesia.
Vietnam menjadi satu-satunya pasukan yang mampu mengecewakan Malaysia dalam aksi peringkat kumpulan. Status sebagai penyandang juara meletakkan skuad Naga Emas itu sebagai pilihan untuk sekali lagi menyambar gelaran juara.
Malah, melihatkan kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terbaharu, Vietnam jauh meninggalkan Malaysia.
Pada ketika Vietnam gah menduduki tangga ke-95 dunia, Malaysia pula terperosok di kedudukan ke-154. Situasi itu jelas menggambarkan jurang besar antara Malaysia dan Vietnam yang kini dilabel gergasi bola sepak Asia Tenggara.
Apa sekalipun percaturan atas kertas, Cheng Hoe dan anak-anak buahnya harus bersiap siaga dalam misi menawan Kota Singa. Bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya kembali mengecap nikmat bergelar juara.
Ayuh buktikan! Sudah sampai masanya Harimau Malaya dapat kembali memegang status ‘Raja Asia Tenggara’ selepas kali terakhir melakukannya 11 tahun lalu.