KUALA LUMPUR - Isu bayaran pencen bagi golongan B40 antara isu bakal dikupas pada persidangan Parlimen, pada Khamis.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) kepada Perdana Menteri.
Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pula akan meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan apakah cabaran dihadapi dan bagaimana untuk membantu sektor pembinaan menghadapi cabaran kesan daripada wabak Covid-19.
Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) meminta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi menyatakan dengan lebih terperinci mengenai kos program vaksinasi yang dijalankan.
Wan Azizah turut bertanyakan strategi seterusnya kerajaan selain program vaksinasi dalam mengekang wabak Covid-19 yang menyebabkan banyak negeri melaporkan kes tinggi harian baharu.
Sesi Dewan Rakyat turut diteruskan dengan pertanyaan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Maaysia 1963.
Ini termasuk pelan tindakan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengembalikan hak-hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober. Sumber Awani