BEKAS menteri luar, Fumio Kishida hampir pasti menjadi Perdana Menteri Jepun yang baharu menggantikan Yoshihide Suga yang meletak jawatan bulan lepas.
Kishida akan dipilih sebagai perdana menteri dalam sidang Parlimen luar biasa dijadual 4 Oktober ini.
Pada Rabu, beliau memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah Jepun.
Dalam pengundian itu, Kishida memperoleh 257 undi pada pusingan akhir, mengatasi pencabarnya Taro Kono yang mendapat 170 undi.
Memandangkan gabungan diketuai LDP membentuk majoriti di kedua-dua dewan Parlimen, secara tradisinya presiden parti yang baharu hampir pasti dipilih sebagai perdana menteri.
Pada pusingan pertama pengundian, Kishida memperoleh 256 undi manakala Kono mendapat 255 undi.
Dua calon wanita iaitu bekas menteri komunikasi Sanae Takaichi dan Pemangku Setiausaha Agung Eksekutif LDP Seiko Noda tewas dalam kesemua pusingan.
Selesai pemilihan nanti, Jepun turut akan mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 17 Oktober ini. - Sumber Awani