25 tahun Menara KL tersergam indah hiasi ibu kota

Iklan
Tersergam indah menghiasi bandaraya Kuala Lumpur selama 25 tahun, Menara Kuala Lumpur amat terkenal dengan pelbagai tarikan unik serta acara-acara tahunan yang mencabar.

KUALA LUMPUR - Sebagai salah sebuah mercu tanda penting dan simbol yang memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, Menara Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pengalaman menarik dan memberikan memori indah kepada pengunjung seluruh dunia sepanjang 25 tahun ini.

Menara Kuala Lumpur yang mula dibina pada Oktober 1991 dan siap pada Mei 1996 dibuka kepada pengunjung serta dilancarkan secara rasmi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 1996.

Iklan
Iklan

Tersergam indah menghiasi bandaraya Kuala Lumpur selama 25 tahun, Menara Kuala Lumpur yang merupakan menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia juga amat terkenal dengan pelbagai tarikan unik serta acara-acara tahunan yang mencabar.

Justeru, bersempena dengan sambutan istimewa Jubli Perak Menara Kuala Lumpur pada tahun ini, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan selama tiga bulan bermula pada Oktober hingga Disember 2021.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ainol Shaharina Sahar berkata, program dan aktiviti secara maya dan fizikal akan diadakan antaranya Anniversary Giveaway, Tower Lighting, Online Games, Anniversary Greeting, Throwback Challenge, TikTok Challenge, Anniversary Postage Stamp, Virtual Treasure Hunt, Limited Edition Snapback Cap, KL Tower Replica Miniature Competition, KL Tower Kids – Colouring Contest dan KL Tower Kids – Count If You Can Contest.

Menurutnya, Menara Kuala Lumpur juga akan mengeluarkan sebuah lagu yang dicipta khas oleh The Sky Band iaitu Pemuzik dari Menara Kuala Lumpur.

Iklan

"Sambutan ulang tahun ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada para pengunjung yang telah menyokong Menara Kuala Lumpur sejak tahun 1996.

"Ada pengunjung yang pernah datang ke Menara Kuala Lumpur 25 tahun lepas bersama lawatan sekolah dan datang semula pada tahun ini membawa anak-anak mereka untuk berjalan-jalan dan mengimbau semula kenangan manis mereka semasa kecil di sini.

"Ditambah pula dengan berita baik iaitu pengumuman pembukaan sektor pelancongan secara berperingkat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Menara Kuala Lumpur juga akan kembali beroperasi pada 1 Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berita baik itu merupakan hadiah ulang tahun yang cukup bermakna bagi warga Menara Kuala Lumpur.

Katanya, Menara Kuala Lumpur sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial Menara Kuala Lumpur di Facebook @officialmenarakl atau Instagram @menarakl.