LIPIS - Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Lipis - Merapoh di Kampung Relong pada petang Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Che Muhammad Fikri Che Hussin, 21, dari Kampung Kemuning Berchang, disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Lipis hendak balik ke rumah di Kampung Relong.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta yang merupakan wanita berusia 35 tahun telah membelok ke kanan jalan menghala ke arah Merapoh untuk pulang ke rumahnya.
"Mangsa yang menunggang motosikal dari arah yang sama secara tiba-tiba telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Penunggang motosikal (mangsa) mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
"Mangsa kemudiannnya disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuala Lipis kira-kira jam 7 malam pada Rabu,” katanya.