Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibentang tahun depan

Iklan
Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman berkata, kementeriannya akan membentangkan pindaan akta itu menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, pindaan akta ini di peringkat pertama telah siap dan telah dikemukakan kepada satu unit Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk ulasan dan tindakan selanjutnya.

"Seterusnya draf pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ini akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk kelulusan (sebelum dibawa ke Dewan Rakyat)," katanya ketika sesi pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) tentang status pindaan akta berkaitan kesalahan pencemaran alam sekitar yang dibuat kerajaan.

Nurul Izzah berkata, berdasarkan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini, pelaku-pelaku yang mencemarkan sungai tidak langsung memperlihatkan ketakutan terhadap undang-undang sedia ada.

Iklan

Pada September tahun lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya memberi komitmen meminda akta untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang disabitkan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Menurutnya, perkara itu juga sudah dikemukakan di Parlimen sebagai tanda kementerian tidak akan berkompromi dengan pihak yang menjadi punca kepada pencemaran alam.

Kes pencemaran alam sekitar sejak kebelakangan ini menjejaskan ramai pengguna apabila terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air dalam tempoh lama selain ia turut membahayakan nyawa rakyat.