KONSEP ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat satu peluang yang terbaik untuk menjadikan seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam apa juga keadaan dengan keharmonian rakyat perlu dipupuk dengan semangat kekeluargaan yang ikhlas.
Sudah pasti pendidikan adalah instrumen terbaik untuk menjayakan konsep Keluarga Malaysia tidak kira secara formal atau tidak.
Umum mengetahui bahawa dalam Falsafah Pendidikan Negara ini adalah untuk menjadikan pendidikan sebagai alat yang melahirkan warganegara yang baik, bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
Tafsiran warganegara yang baik pula adalah merujuk kepada keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian yang pekerti serta nilai-nilai murni yang sesuai dengan keadaan semasa.
Namun begitu, realiti sebenar yang berlaku adalah sebaliknya. Adakah sistem pendidikan yang sedia ada berjaya menjadi agen perpaduan yang baik.
Situasi semasa memperlihatkan setiap kaum memilih untuk berada selesa dalam kelompok atau persekitaran masing-masing.
Di sini jelas bahawa perpaduan perlu berlaku dengan rela hati semua yang terlibat melalui kaedah pendidikan berperingkat dan memupuk budaya perpaduan secara berterusan.
Justeru, sistem pendidikan negara perlu dikemaskini dan melakukan transformasi yang lebih berkesan agar semangat konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini benar-benar berkesan dan tersemai erat di sanubari setiap rakyat Malaysia.
Sebelum berlakunya transformasi yang lebih radikal dalam pendidikan negara kita, fasa pertama adalah semua pihak harus menerima dan terbuka untuk mengadaptasinya dengan lebih meluas dengan terus berpegang pada prinsip perpaduan dalam kepelbagaian sebagai titik utama untuk dihormati dan digunakan untuk menyemarakkan Keluarga Malaysia.
Fasa seterusnya adalah menggubal dasar pendidikan yang holistik.
Dasar pendidikan yang baharu ini tidak hanya perlu memberi fokus kepada sifat pembangunan kurikulum, inovasi, dan pencapaian akademik semata-mata, tetapi elemen-elemen akhlak dan moral kekeluargaan seperti nilai prihatin, toleransi, yang menjadi akan menjadi tiang seri asas yang memayungi dasar-dasar yang lain.
Apabila nilai-nilai diterap melalui pendidikan, Malaysia telah membentuk masyarakat akan menjadi lebih progresif dan mampu meletakkan asas kepentingan negara melebihi daripada segala-galanya.
Tiada lagi masyarakat yang mempunyai corak pemikiran yang kini dilihat sering berorientasikan ideologi politik.
Ini masanya juga untuk negara membentuk hala tuju pendidikan dengan acuan sendiri.
Dasar dan bentuk pendidikan yang tinggalkan penjajah sebelum ini perlu diberi nafas baharu.
Sekolah vernakular yang terus menjadi ‘duri dalam daging’ mungkin menjadi cabaran untuk kerajaan untuk melihat konsep ‘Keluarga Malaysia’ benar-benar berkesan.
Sekurang-kurangnya konsep sekolah wawasan yang sedia ada perlu diteruskan dan diberi nafas baharu.
Adalah amat penting sistem pendidikan negara menjadi alat perpaduan utama yang memperkasakan ‘Keluarga Malaysia’.
Keunikan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, hidup secara harmoni dan menjadikan kepelbagaian sebagai kelebihan untuk diraikan dan dilestarikan demi kelangsungan negara pada masa hadapan.
*Dr Muhammad Azwan Sulaiman merupakan Ketua Unit Komunikasi Korporat/ Pensyarah Kanan Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam