1,000 pengunjung dijangka kunjungi Zoo Negara esok

Iklan
Zoo Negara menawarkan diskaun 20 peratus buat pengunjung mereka susulan pembukaannya semula pada esok.

KUALA LUMPUR - Pengurusan Zoo Negara menjangkakan kehadiran seramai hampir 1,000 orang pengunjung ke lokasi pelancongan itu yang akan dibuka semula bermula Jumaat.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, jumlah kehadiran pengunjung juga akan lebih bertambah pada cuti hujung minggu susulan kelonggaran pergerakan diumumkan kerajaan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurut Rosly, pihak pengurusan juga akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di kalangan pengunjung dan kakitangan Zoo Negara.

"Dari segi persediaan, pegawai dan kakitangan Zoo Negara tidak dibenarkan untuk bercuti dan mereka dikehendaki bertugas bagi membantu pengunjung untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Iklan

"SOP kali ini juga tidak banyak berbeza dengan apa yang diguna pakai sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rosly berkata, pihak pengurusan turut memberi potongan diskaun sehingga 20 peratus kepada pengunjung yang hadir ke Zoo Negara bersempena pembukaannya semula pada Jumaat.

Iklan

Selain itu, katanya, seramai 500 pengunjung yang sudah membuat pembelian untuk mengunjungi Zoo Negara pada Jumaat juga akan mendapat tiket percuma tanpa had masuk bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun hadapan.

"Nama dan nombor kad pengenalan mereka akan didaftarkan dalam sistem dan pengunjung yang hadir hanya perlu mempamerkan kad pengenalan masing-masing," katanya.

Tambah Rosly, pihak pengurusan berharap agar orang ramai dapat memberi sokongan dengan mengunjungi Zoo Negara yang sebelum ini terpaksa menghentikan sementara operasi susulan pandemik Covid-19.

"Memandangkan semua tahu pendapatan kita semata-mata menerusi sumber tiket pengunjung, jadi harapan saya agar mereka dapat datang dan mengunjungi haiwan di sini," katanya.