KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan menggunakan teknologi moden dalam sistem pendidikan secara bersemuka di dalam kelas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, kaedah itu perlu digunakan bukan hanya di sekolah bahkan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, di zaman teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) sekarang, pelajar perlu mendapatkan lebih banyak ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi.
"Kita sekarang ini dalam zaman teknologi moden, tetapi nampaknya kita tidak menggunakan teknologi moden umpamanya dalam bidang pendidikan.
"Kita masih bergantung kepada kaedah guru menyampaikan ilmu dalam bilik darjah semata-mata," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, dengan perkembangan teknologi ketika ini sudah ada keupayaan untuk merakam segala ilmu dan ia boleh main berkali-kali.
"Bahkan rakaman ini boleh dimainkan di dalam bilik darjah dan guru cuma membantu sahaja.
"Ini cara baharu dan sudah beberapa syarikat memperkenalkannya untuk mengajar tetapi semuanya ditolak dan kita masih lagi bergantung kepada guru," katanya.
Dr Mahathir menegaskan, beliau sendiri belajar banyak perkara melalui teknologi moden termasuk platform media sosial YouTube.
Katanya, menerusi kaedah itu banyak perkara dapat dipelajari kerana pengajaran disampaikan oleh pakar.
"Sebab itu, saya cadangkan supaya kita gunakan teknologi baru dalam mengajar anak-anak di sekolah dan universiti.
"Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lama melibatkan seorang guru mengajar dalam kelas sudah tidak mencukupi dan sesuai dengan zaman sekarang kerana kita perlu dapatkan lebih banyak ilmu," katanya.