MOGADISHU - Bashir Mohamed tidak berganjak dari tempat duduknya ketika menonton sebuah filem di Panggung Negara di Mogadishu, yang dibuka semula selepas tiga dekad.
"Saya tidak pernah percaya perkara seperti ini berlaku di kampung halaman saya di Somalia," kata Mohamed, 28, kepada Anadolu Agency (AA).
Selepas perang saudara meletus pada awal 1990-an, Panggung Negara itu tidak lagi beroperasi.
Panggung itu dibuka pada 1967, hadiah dari pemimpin China Mao Zedong kepada rakyat Somalia.
Selama bertahun-tahun, acara muzikal, drama dan festival telah diadakan di panggung itu.
Akhirnya, bermula minggu lalu, dua filem ‘Hoos’ dan ‘Date From Hell’ ditayangkan di panggung itu dan penduduk tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya walaupun harga tiket mahal.
"Saya sering bertanya bagaimana rasanya berada di dalam pawagam. Kini saya berusia 28 tahun, hakikatnya filem tidak ditayangkan di sini selama lebih 30 tahun,” kata Mohamed, yang belum pernah ke merasai pengalaman seperti itu.
Katanya, kawalan dan pemeriksaan keselamatan amat ketat di pintu masuk panggung, kali ini kerajaan serius mengenai aspek keselamatan.
Panggung itu digunakan sebagai pangkalan tentera oleh warlords of Somalia semasa perjuangan mereka untuk menguasai ibu negara Mogadishu.
Pada 2012, seorang pengebom bunuh diri menyasarkan panggung itu, menyebabkan empat orang terbunuh dan mencederakan puluhan lagi yang lain, termasuk tiga wartawan dan Ahli Parlimen Somalia yang menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-28 Televisyen Negara Somalia.
Penerbit filem Kaif Jama, 24, yang terbabit dalam penghasilan filem Hoos, mengajak rakyat Somalia bersama-sama merasai kemeriahan di panggung berkenaan, yang disifatkan umpama 'tempat ajaib'.
"Kami mahu filem Somalia ditayangkan kepada rakyat supaya kami dapat membesarkan anak-anak dan semua yang lain dengan budaya kami," katanya. - Bernama