'Kami bangkit dengan permainan agresif'

Iklan
Arulselvaraj memberikan arahan kepada pemain dalam aksi persahabatan menentang Hampstead & Westminister H.C. - Foto MHC

PENGENDALI skuad hoki negara, A ArulSelvaraj menyifatkan aksi persahabatan menentang Hampstead & Westminister H.C yang berlangsung di Pusat Sukan Nasional Bisham Abbey pada Khamis merupakan aksi terbaik untuk menguji kemampuan skuad Speedy Tigers.

Menurutnya, ia sesuatu yang positif terutama untuk melihat pasukannya bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mencatatkan keputusan seri 5-5 dengan pasukan yang akan beraksi di Liga Eropah itu.

Iklan
Iklan

"Walaupun pada satu ketika kedudukan 0-3 berpihak kepada lawan, kami berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada suku ketiga.

"Suku ketiga merupakan suku yang amat baik di mana kami menjaringkan ketiga-tiga gol dalam suku tersebut.

Iklan

"Namun pada suku keempat kesilapan yang dilakukan membenarkan pihak lawan menjaringkan dua gol, tetapi kami bangkit dengan satu permainan agresif untuk mendapatkan dua gol pada minit terakhir perlawanan bagi menyamakan kembali kedudukan.

"Ini merupakan satu perlawanan yang bagus untuk pasukan bagi menguji kebolehan kami selepas sekian lama membuat latihan secara aplikasi dalam talian (Zoom)," katanya.

Iklan

Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama nyata tidak mematahkan semangat skuad negara untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi tiga gol padang bermula dengan gol pembukaan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-38 dan diikuti dengan gol Muhammad Marhan Mohd Jalil berselang dua minit kemudian sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengubah kedudukan 3-3 pada minit ke-41.

Kedudukan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama apabila Hampstead & Westminister H.C menjaringkan dua gol masing-masing satu gol padang dan satu menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan 46 untuk meletakkan mereka kembali di depan.

Bagaimanapun tiga minit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir, barisan negara menggandakan asakan dan dua gol gerakan padang terhasil masing-masing pada minti ke-57, gol menerusi Muhammad Firhan Ashaari dan seminit kemudian giliran Mohamad Ashran Hamsani mencatat nama selaku penjaring juga sekaligus menutup perlawanan dengan keputusan seri 5-5.

Dalam pada itu, kapten pasukan kebangsaan, Marhan Jalil memuji semangat tidak putus asa rakan sepasukannya yang kekal memberikan tentangan dan bangkit mengikat kedudukan selain bertekad untuk terus berusaha mencari kemenangan pertama.

"Untuk perlawanan hari ini apa yang boleh kami banggakan adalah semangat untuk berlawan sepasukan dan saya berharap semangat yang ditunjukkan hari ini akan dibawa ke perlawanan seterusnya.

"Kami akan terus memperbaiki setiap perkara yang perlu diperbaiki dan akan meningkatkan lagi momentum perlawanan untuk mencari kemenangan pertama," katanya.

Skuad negara akan turun untuk aksi keempat yang juga merupakan aksi terakhir menentang pasukan berstatus kelab, Beeston H.C pada Sabtu.