SHAH ALAM - Peraduan ‘Masak dan Menang Jati Malaysia’ yang masih berbaki tiga hari lagi terus mendapat sambutan di luar jangkaan dengan penerimaan video-video kreatif daripada para peserta.
Penganjur, Serba Wangi Sdn Bhd (Serba Wangi) dan Sinar Harian mengalu-alukan orang ramai untuk terus menghantar penyertaan kerana anda mungkin salah seorang yang bertuah dan bakal memenangi wang tunai yang disediakan.
Peraduan ‘Masak dan Menang Jati Malaysia’ merupakan julung kalinya diadakan di aplikasi Tiktok berkonsepkan resipi mudah dan kreatif dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM8,100 untuk pemenang tempat pertama, kedua, ketiga dan tujuh saguhati.
Peraduan anjuran Serba Wangi melalui jenama Beras Jati ini akan ditutup pada jam 11.59 malam, pada 3 Oktober ini.
Pengurus Serba Wangi, Low Zishi berkata, peserta perlu bersedia lebih awal untuk menyertainya agar lebih banyak masa diperuntukkan bagi merealisasikan video masakan yang kreatif dan menepati syarat.
"Jangan tunggu sehingga hampir tarikh tutup penyertaan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku pada saat-saat akhir.
"Untuk menghasilkan sesuatu karya yang kreatif, masa sangat penting dan kita tidak boleh jangkakan sebarang kemungkinan akan berlaku. Buat persiapan awal, fikirkan apa resipinya dan hasilkan satu idea video masakan yang kreatif,” katanya kepada Sinar Harian.
Zishi turut menyeru semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa, kaum dan lapisan usia sama-sama menyertainya bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
"Luangkan masa dan manfaatkannya dengan melakukan aktiviti menarik bagi menguji kreativiti anda bersama keluarga sepanjang tempoh kita masih dihadkan pergerakan akibat pandemik Covid-19.
"Mana tahu, video masakan anda mungkin terpilih sebagai pemenang. Wang itu dapatlah dijadikan simpanan atau digunakan untuk menampung keperluan pada saat kritikal ini,” ujarnya.
Sementara itu katanya, peraduan yang dijalankan bersama Sinar Harian ini akan diadili secara telus dengan memastikan setiap penyertaan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
"Patuhi had masa penghantaran yang ditetapkan dan hasilkan video yang menepati semua terma dan syarat peraduan. Keputusan peraduan adalah muktamad berdasarkan penilaian dan kriteria yang ditetapkan,” jelasnya.